* BANYAK perubahan berlaku pada badan ibu semasa mengandung dan yang paling diberi perhatian adalah kulit. Perubahan ini mungkin mencemaskan kerana ia mengubah rupa paras
badan ibu. Bahagian yang ketara berlaku adalah pada kulit, kuku dan juga rambut.Walaupun mencemaskan serta mengecewakan, perubahan ini hanyalah bersifat sementara dan hilang selepas kelahiran berlaku dan juga tidak membahayakan.
* Para ibu boleh berbincang dengan doktor masing-masing sekiranya perubahan ini mengubah serta mengganggu emosi. Antara yang akan diketengahkan kali ini adalah:
1. Perubahan normal pada kulit, kuku serta rambut ibu semasa mengandung.
2. Perawatan yang ada, sekiranya diperlukan, untuk mengurangkan kesan-kesan tersebut.
*Kulit semasa mengandung
Kebanyakan perubahan akibat penyakit kulit, mengapa ianya berlaku serta puncanya tidak diketahui.Semasa mengandung, banyak perubahan fizikal berlaku kepada seorang ibu seperti sakit belakang dan juga kesan-kesan kulit menegang. Namun, yang paling ketara untuk para ibu mungkin pada bahagian kulit, rambut serta kuku.Perubahan ini berlaku kerana berlakunya perubahan hormon dalam badan semasa mengandung.Mungkin juga perubahan pada kulit sudah pun wujud, cuma penampilannya lebih jelas kelihatan semasa mengandung.
* Tompok-tompok gelap atau hitam
Ketika mengandung, para ibu mungkin menyedari kehadiran tompok atau bintik kegelapan (kehitaman) pada payudara, puting dan juga di celah kangkang. Ini adalah kerana paras melanin yang meningkat iaitu komponen yang memberikan warna pada rambut dan juga kulit. Kira-kira 90 peratus wanita mengandung akan mengalami tompok-tompok kehitaman ini sementara mereka yang berkulit gelap akan menunjukkan kesan-kesan melanin dengan lebih jelas. Tompok-tompok kekelabuan sekitar mata, hidung dan pipi pula dipanggil “chloasma” ataupun dikenali sebagai “topeng mengandung”.
* Hampir 70 peratus mereka yang mengandung akan mengalami perubahan kulit ini. Sekiranya terdedah kepada matahari secara berpanjangan,warna tompokan ini akan menjadi lebih jelas serta gelap. Oleh itu, ibu-ibu harus mengehadkan pendedahan muka pada matahari sekiranya tidak mahu tompokan ini menjadi lebih jelas kelihatan. Sekiranya perlu berada di bawah sinaran matahari untuk suatu jangka masa yang panjang, lindungi dengan krim pelindung cahaya matahari (sun protection factor), sekurang-kurangnya krim yang mempunyai nilaian 15, atau gunakanlah payung yang gelap dengan diameter yang lebar.
* Perubahan kulit ini juga tidak berkekalan dan lazimnya akan hilang dan pudar selepas anak dilahirkan. Sekiranya masih terjadi tompok kegelapan tersebut, segeralah berjumpa doktor untuk nasihat dan ujian lanjut.
* Para ibu juga mungkin menyedari kehadiran garisan gelap dari pusat ke kawasan kemaluan dikenali sebagai ‘linea nigra’.Garisan ini sememangnya sudah ada sebelum mengandung tetapi hanya lebih jelas kelihatan semasa mengandung.Ibu-ibu juga boleh menggunakan bahan-bahan solekan untuk mengurangkan keterampilan perubahan kulit pada muka tetapi harus dipastikan terlebih dahulu, bahan-bahan solekan ini Selamat untuk digunakan dan diperakui oleh badan kesihatan.
* Tanda keregangan
Sepanjang kehamilan, kulit di perut terutamanya di bahagian rahim akan makin membesar, menegang dan menjadi kemerahan. Tanda-tanda ini akan lebih jelas kelihatan sekiranya pembesaran rahim berlaku dengan pantas. Pada trimester ketiga, bahagian badan ibu akan jelas sekali menunjukkan keregangan kulit di bahagian perut, paha, punggung serta payudara.Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan keregangan ini selain penggunaan bahan-bahan kosmetik untuk menyembunyikannya. Tanda-tanda keregangan ini akan menjadi pudar selepas anak dilahirkan tetapi ia tidak akan hilang sepenuhnya.Tanda keregangan juga akan kelihatan sebagaimana semasa mengandung sekiranya seorang ibu itu secara genetiknya mempunyai kulit yang lebih
gelap.
* Perubahan pada rambut
Perubahan hormon juga menyebabkan rambut ibu menjadi lebih lebat, kadangkala mungkin tumbuh pula bulu-bulu di bahagian-bahagian yang sebelum ini tidak mempunyai bulu. Pertumbuhan bulu-bulu baru ini dipanggil ‘hirsutism’ dan ianya akan hilang setelah enam bulan anak dilahirkan.Keguguran rambut juga mungkin berlaku dalam masa tiga bulan selepas kelahiran. Ini adalah perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan kerana keadaan rambut pada badan ibu sedang kembali kepada keadaan sebelum mengandung.Tidak ada ubat yang dapat digunakan untuk menghalang keguguran rambut ini selepas kelahiran anak.Untuk kehadiran bulu-bulu di bahagian-bahagian lain badan, ibu-ibu boleh mencabutnya ataupun berhubung dengan pakar-pakar kecantikan jika ia tidak hilang selepas enam bulan.
* Perubahan kuku
Kuku ibu mengandung menjadi lebih cepat panjang dan kadangkala senang pecah serta merekah. Jangan runsing kerana kuku akan menjadi seperti sediakala selepas anak dilahirkan.
* Vena lelabah
Perubahan pada pembuluh darah juga mungkin berlaku disebabkan pertambahan jumlah darah di dalam badan semasa mengandung. Salur-salur darah yang kecil kelihatan pada kulit ibu mengandung dikenali sebagai vena lelabah. Lazimnya vena lelabah ini ketara semasa 14 minggu pertama mengandung. Mereka yang berkulit cerah akan mendapati kehadiran vena lelabah ini juga berlaku di kawasan muka, leher dan lengan.
* Vena varikos
Penyekatan secara perlahan aliran darah dari bahagian kaki ke jantung mungkin akan berlaku disebabkan rintangan oleh rahim yang membesar serta penambahan berat badan. Kaki para ibu mungkin akan membengkak, menjadi biru dan juga tidak selesa atau rimas. Ini dipanggil sebagai vena varikos dan ia juga berlaku di dubur dan sekitar faraj.Di dubur, ianya dipanggil sebagai buasir. Faktor turun-temurun juga memainkan peranannya. Para ibu mungkin akan menghidapinya sekiranya mempunyai sejarah ahli keluarga dengan masalah tersebut.Langkah-langkah yang boleh diamalkan supaya vena varikos tidak menjadi lebih teruk adalah:
1: “Penggunaan stoking kaki yang dapat mencegah sedikit sebanyak vena varikos.
2: “Bersenam seperti berjalan, berenang dan juga menggunakan basikal yang khas untuk bersenam seperti di gim.
3: “Mengangkat kaki lebih tinggi dari paras jantung ketika berbaring supaya senang darah kembali ke jantung.
4: “Jangan duduk dengan kaki menyilang antara satu sama lain.
5: “Sekiranya terpaksa berdiri untuk suatu jangka masa yang panjang, pastikan sentiasa bergerak untuk menggalakkan aliran darah.
* Lain-lain masalah kulit
Plak dan papula pruritik urtikarial
* Berlaku pada satu daripada 200 wanita mengandung. Kulit kelihatan mempunyai tompok-tompok kecil yang timbul dan kemerahan, biasanya pada peringkat terakhir kandungan. Tompok-tompok kecil ini boleh bergabung menjadi lebih besar. Ianya gatal dan lazimnya bermula di bahagian abdomen dan merebak ke paha, punggung dan juga payu dara. Krim berubat steroid boleh digunakan dan ianya akan hilang selepas tamat kehamilan.
Prurigo semasa mengandung
* Kemunculan tompok-tompok kecil yang gatal dan kelihatan seperti gigitan serangga. Ianya berlaku pada mana-mana sahaja bahagian badan, pada bila-bila masa semasa tempoh mengandung. Tompok-tompok kecil ini mungkin tidak hilang selepas tempoh kehamilan dan boleh bergabung untuk membentuk bahagian gatal yang lebih meluas.
Pemphigoid gestationis
* Jarang berlaku, tetapi sekiranya berlaku akan bermula pada tempoh kandungan trimester kedua serta ketiga dan juga sejurus selepas kelahiran. Lukanya seperti kulit terkena air panas,seakan-akan melecur dan mungkin boleh melibatkan banyak kawasan pada badan.
Kolestasis semasa mengandung
* Kolestasis merupakan penyakit hati yang lazim berlaku semasa mengandung. Rungutan utama pesakit adalah kegatalan kulit yang berlaku secara meluas di tapak tangan dan juga kaki di samping boleh merebak ke bahagian lain badan. Masalah ini biasanya bermula pada tempoh mengandung trimester ketiga tetapi akan reda selepas kelahiran dan mungkin berulang untuk kehamilan berikutnya. Doktor akan menasihatkan supaya ibu mengandung lebih kerap ke hospital kerana kolestasis ini dikaitkan dengan risiko kelahiran pramatang, kematian bayi dan juga permasalahan lain. Bagi ibu mengandung yang mungkin telah mempunyai penyakit kulit lain atau sedang menerima perawatan untuk penyakit kulit, ada penyakit kulit yang bertambah baik dan ada juga yang bertambah teruk ketika mengandung. Contohnya, penyakit kulit dermatitis atopik menjadi lebih gatal semasa mengandung, psoriasis pula semakin reda dengan mengandung. Jika khuatir keadaan badan selepas mengandung menjadi lebih teruk,para ibu dinasihatkan berjumpa doktor untuk nasihat dan ujian lanjut bagi memastikan sebarang masalah kesihatan yang timbul tidak membahayakan nyawa ibu dan juga bayi yang dikandung.
- PROF. MADYA DR. SHAH REZA JOHAN NOOR (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)